InsyaAllah dalam 2 hari lagi semua umat Islam akan menyambut kedatangan syawal.Kehadiran syawal kali ini telah mengimbau kembali peristiwa 19 tahun dulu.Kisah ini diceritankan semula oleh mommy pada kakak beberapa hari yang lalu.
Pada ketika itu Mommy baru 20 hari bersalin adik baby.Mommy di bawa nenek balik ke kampung untuk nenek jaga sewaktu dalam tempoh berpantang.Waktu itu umur kakak baru 3 tahun.Walaupun kakak tidak mengingati apa berlaku pada waktu itu tetapi cukup tragis apa yang pernah ayah lakukan terhadap kami.Sewaktu menghantar mommy dan adik baby, ayah tidak bercakap sepatah kata sepanjang perjalanan.Kami ditinggalkan begitu sahaja di rumah nenek tanpa keperluan adik baby ,keperluan ibu serta susu minuman kakak.
Hari raya menjelang tiba..nenek semakin sibuk membuat tempahan kuih bahulu dan kuih bangkit.Berasap-asap dapur nenek tiap hari.Mommy pula semakin hari semakin berdiam diri dan asyik melayan adik baby.Mommy tidak lagi periang seperti selalu bercerita dan bergurau senda dengan kakak..
Suatu hari kakak lihat nenek balik dari pekan sehari membawa bungkusan.Nenek membuka bungkusan dan memberitahu kakak inilah sahaja yang nenek dapat belikan untuk kakak.Sehelai kain untuk dibuat baju kurung raya.Nenek menempah baju raya kakak.Kakak sukahati kerana ada baju baru.Semalam sepupu datang rumah nenek katanya dia dah ada baju baru untuk raya.Ada 5 pasang.
Esok hari raya.Nenek sibuk memasak ketupat,rendang dan ayam semur kegemaran kakak.Mommy asyik berkuring dalam bilik.Sesekali kakak lihat mommy menangis memeluk adik baby.Hairan...sejak ayah menghantar mommy balik kampung, ayah belum sekali pun telefon kakak.Ahh..mungkin ayah sibuk agaknya.
Kakak tidak putus asa.Kakak terus bersemangat menunggu ayah balik ke rumah nenek untuk sama-sama meraikan aidil fitri dengan adik baru.Pasti ayah balik membawa baju baru atau bunga api untuk kakak.
Dari pagi sampai petang kakak asyik meninjau keluar pintu rumah ke jalanraya.Moga-moga ada kelibat kereta ayah masuk ke rumah nenek.Akhirnya kakak tertidur depan pintu.
Kakak tersedar bila ada air mata jernih mommy jatuh atas pipi kakak.Kakak terpisat-pisat melihat mata dan hidung mommy merah.Mommy memeluk kakak erat-erat dan mengusap-usap rambut kakak.Mommy mencapai baju dan mengunjukkan pada kakak.Inilah baju baru kakak...dah siap jahit..esok boleh pakai dan boleh pergi beraya dengan nenek.Mommy berlalu dan mendodoi adik baby dalam buaian.
Malam itu rumah nenek meriah.Nenek melayan kakak memasang pelita dan melayan kakak dengan gembira.Namun kakak masih tercari-cari di celah pakngah makngah pakcik dan makcik, dimanakan ayah? Tidak mungkin ayah beraya sendirian di rumah sebab tok pun dah meninggal.Mommy mencuba telefon ayah untuk kakak tapi tiada jawapan.Walaupun hari itu masih malam raya tetapi ramai saudara-mara telah berkunjung.Mereka melawat adik baby kata nenek.Mommy tak berhenti menangis bila saudara mara memeluknya dan minta bersabar.Kakak tak mahu tidur.Selepas bermain bunga api dengan abang sepupu,kakak duduk atas sofa di ruang tamu.Kakak nak tunggu ayah.Kakak nak tunjuk baju baru nenek beli kat ayah.Akhirnya kakak tertidur.
Bila terjaga,kakak sudah berada diatas katil nenek.Kakak terus meninjau setiap sudut rumah mencari ayah.Ayah balikkah waktu kakak tertidur?Nenek seolah-olah faham lalu mendukung kakak masuk ke bilik air dan mandikan kakak.Ayah balik tak nenek?Belum lagi mungkin hari ini agaknya..jawab nenek .Nenek memakaikan baju kurung dan siapkan kakak.Selepas itu nenek suap kakak makan didapur.Sementara nenek siapkan adik baby,kakak meluru ke pintu dan duduk dimuka pintu menunggu ayah.Kakak tak mahu ikut nenek ke kubur atau ikut nenek pergi beraya rumah jiran.
Kakak nak ayah.Kakak nak tunjuk baju baru kakak kat ayah.Kakak letih menunggu.Hari yang cerah bertukar gelap.Nenek ajak kakak masuk ke rumah untuk tukar baju dan mandi.Selepas mandi kakak terlelap dengan sebotol susu.
Esok ,lusa dan seterusnya sepanjang hari kakak masih di muka pintu menanti ayah.Kakak menolak ajakan pakngah makngah pakcik makcik untuk pergi berhari raya.Kakak tetap setia menunggu ayah dimuka pintu dari pagi hingga ke senja.Bermula dari ramai orang berkumpul dirumah nenek sehingga semua orang selesai balik ke rumah masing-masing,ayah masih tidak muncul-muncul.
Lama-kelamaan kakak bosan tunggu ayah dimuka pintu.Kakak bosan telefon ayah tiada jawapan.Kesian Mommy,kesian adik baby, kami beraya tanpa ayah bersama-sama.
Mommy kata hari yang ke 19 hari raya baru ayah muncul jam 3 pg waktu kakak tidur lena.Ayah minta mommy berkemas dan ikut pulang ke rumah pagi-pagi esoknya.
Demikianlah kisah Hari Raya kami sekeluarga 19 tahun lalu.Sampai sekarang kakak tidak tahu dimana ayah sewaktu semua keluarga berkumpul bersama-sama meraikan Syawal.Sejak itu kakak tidak lagi berhari raya dengan ayah.Ayah berhari raya dengan cara dan jalan yang dipilihnya sendiri.Namun kakak tetap mengalir air mata menyambut 1 syawal mengenang kenangan silam...Allahuakbar....
No comments:
Post a Comment