Nasi Ambang atau nama sebenarnya Nasi Ambeng adalah makanan tradisi masyarakat etnik Jawa Malaysia yang kini menjadi kegemaran ramai setelah makanan ini dikomersialkan.Makanan ini berupa set hidangan gabungan nasi putih, ayam masak semur, serunding kelapa + kacang tanah goreng, bergedil , mee goreng dan sayur sambal goreng tempe.Kebiasaannya masyarakat jawa menyediakan hidangan ini apabila mereka mengadakan majlis kenduri kesyukuran atau kenduri tahlil.Penyediaannya amat mudah namun masyarakat jawa di kampung saya lebih gemar menyediakannya secara bergotong royong ,memperlihatkan keakraban setiap individu dalam bermasyarakat.
Nasi putih (beras ) ditanak dalam kawah oleh pihak lelaki manakala pihak wanita pula menyediakan bahan-bahan masakan yang lainnya.Mereka sepakat sambil saling bergurau senda dalam menyediakan hidangan ini mengikut keperluan jemputan tetamu.Sebahagian kaum bapa mencari daun pisang sebagai alas meletakkan hidangan Nasi Ambeng sebelum diletakkan dalam dulang atau talam .Ayam pula dibersihkan dan dimasak semur.
AYAM MASAK SEMUR
(Sekiranya tetamu jemputan 50 org)
13 ekor ayam potong 4 (bersihkan)goreng seketika ( setengah masak) dan toskan
1 mangkuk bawang merah/bawang putih dan halia yang telah diblender dan ditumis wangi bersama
5 batang kulit kayu manis dan 2 sudu bunga lawang.
Masukkan air secukupnya
Masukkan kicap secukupnya dan 6 sudu lada sulah- biarkan mendidih
Masukkan garam , gula , air asam jawa dan perasa
Masukkan ayam dan didihkan sehingga ayam masak dan kuahnya agak kering
Masukkan santan pekat mengikut kepekatan kuahnya
(Jika suka boleh masukkan ubi kentang potong baji dan suun sebelum masukkan ayam dan biarkan kentang empuk)
Penyediaan 'BERGEDIL'
4 kg Ubi kentang buang kulit potong baji cuci dan goreng
Selesai menggoreng tumbuk lumat ubi tersebut
2 cawan udang kering cuci dan goreng
1 mangkuk bawang merah hiris nipis dan goreng rangup dan tumbuk kasar
2 labu bawang putih hiris dan goreng serta ditumbuk lumat
4 sudu lada putih dikisar halus
sepokok daun sup dan daun bawang cuci dan hiris halus
Campurkan semua bahan dalam ubi kentang yang telah ditumbuk
Gaul rata dan sebati
Perisakan garam, gula dan perasa.
Bulat bulatkan dan leperkn sedikit
5 biji telur pecahkan dan pukul sedikit.Letak sedikit garam
Panaskan minyak adalam kuali
Celup kepingan bergedil dalam telur yang dipukul
Goreng bergedil dengan api perlahan
Setelah kekuningan angkat dan toskan
.Untuk membuat serunding kelapa agak rumit sedikit tetapi sekiranya ramai jiran tetangga dan saudara mara datang membantu kerja berat akan jadi ringan.
SERUNDING KELAPA + KACANG TANAH GORENG
3 biji kelapa mesin
5 sudu rempah biji kisar halus
5 sudu jintan putih kisar halus
30 biji bawang merah, 1 labu bawang putih blender
5 sudu udang kering blender
Masukkan 5 sudu gula, garam dan asam jawa secukup rasa
Gaul semua bahan sebati
Panaskan sedikit minyak
Gorengkan serunding sehingga garing kekuningan, kacau sentiasa agar tidak hangit
Setelah masak
Masukkan kan kacang tanah yang telah digoreng
atau jika suka semasa menggaul sebati masukkan kerang atau daging yang dipotong kecil sebagai ganti kacang tanah.
Untuk membuat mee goreng seperti biasa je mee goreng kosong
MEE GORENG
1 bungkus mee kuning cuci dan toskan
Tumis wangi 7 biji bawang putih yang telah dikisar/tumbuk
3 sudu udang kering blender
2 sudu lada putih mesin halus
1 senduk sos cili
1/2 senduk kicap
Masuk semua bahan dalam tumisan
sekiranya perlu masukkan sedikit air
Masukkan mee kuning
Masukkan taugeh secukupnya
Perisakan dengan sedikit garam dan gula
Taburkan bawang goreng dan hirisan cili merah
Menu istimewa dalam hidangan ini ialah sayur goreng tempe.
SAYUR GORENG TEMPE
5 keping tempe potong dan goreng
7 biji kentang buang kulit belah dua dan hiris agak nipis juga digoreng
(setelah lembut gunting sepanjang 2 inci)
2 genggam suun direndam
1/2 kilo udang sederhana besar buang kepala dan kulit
250 gm kacang buncis cuci bersih dan potong serong
3 biji cili merah hiris
15 biji bawang merah blender
8 biji bawang putih blender
1 inci halia blender
(jika suka ambil isi petai 4 papan)
Tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang telah diblender bersama sehingga wangi
Masukkan sedikit air ,fucuk dan suun
Masukkan kicap, garam, gula dan air asam
Masukkan udang, kacang buncis ,masak seketika
Masukkan bahan goreng tempe dan kentang
Gaul sebati dan masukkan cili merah dan juga isi petai
Sayur ini tidak berkuah
Setelah semua lauk pauk siap dimasak dan nasi telah sedia ada, talam bulat pula disediakan .Setiap biji talam dilapik dengan daun pisang.Daun pisang hendaklah ambil bahagian hujung pelepah.(Satu pelepah daun pisang potong setengah -ambil bahagian hujung) Bahagian lain daun pisang dikoyak dan digunting bentuk bulat.Ini untuk alas bahagian atas nasi.Bila majlis kenduri bermula pihak wanita mula acukan nasi putih dalam besen kecil dan berbentuk bulat ,agak-agak boleh dibahagikan nasi kepada 4 orang.Ini kerana 1 talam boleh dikongsi dan dimakan seramai 4 orang.Besen berisi nasi diterbalikkan atas daun pisang dalam talam.Nasi itu kemudian ditutup atau dialas dengan daun pisang yang berbentuk bulat tadi.Atas nasi tadi diletakkan pula satu perempat bahagian ayam ( sekor ayam dipotong 4 bahagian).Sekeliling nasi ditelak 4 longgok serunding, mee goreng, sayur goreng tempe dan bergedil.
Setelah selesai majlis dan membaca doa, talam-talam tersebut dihidang kepada para tetamu. Sekiranya sepakat ingin dimakan dalam majlis maka mereka akan makan berkongsi 4 orang dalam 1 talam.Mereka makan dengan penuh toleransi dan mengambil bahagian masing-masing kecuali ayam semur terpaksa mereka cubit-cubitan sesama mereka seorang sikit.Sebab itu saya katakan mereka makan dengan penuh tolarensi.Istilah jawa menyebut 'guyup' masak sama-sama dan makan sama-sama.Guyup tu saling bertolak ansur dan sentiasa bekerjasama.Sekiranya mereka mahu membungkus hidangan untuk dibawa balik,salah seorang daripada 4 orang akan mulakan membelah nasi dan dibahagikan kepada 4 bahagian, begitu juga dengan lauk pauknya dibahagi sama rata.Nasi dibungkus daun pisang dan diikat kemas sebelum dimasukkan dalam beg plastik untuk dibawa pulang tetamu dan akan dinikmati bersama keluarga mereka masing-masing.
Pada masa saya kecil dahulu, suatu kenangan manis ialah bila bapa pergi menghadiri kenduri waktu malam,kami menunggunya dengan harapan akan membawa balik 'Berkat Nasi Ambeng' .Sebaik sahaja terdengar bunyi berdehem bapa ,kakak cepat-cepat membuka pintu dan sekiranya ada buahtangan dari majlis kenduri, kami dah dapat agak ianya pasti Nasi Ambeng.Kami makan penuh selera satu keluarga sorang sikit.Begitulah keberkatan Nasi Ambeng ,walaupun sedikit tetap dapat dinikmati keseluruhan ahli keluarga.Sebab itu disebut 'BERKAT'.Berkat ialah istilah Jawa yang bermaksud buahtangan yang dibawa balik tetamu apabila menghadiri Majlis Kenduri kendara masyarakat Jawa. .Tradisi membawa balik berkat kini telah menjadi amalan semua masyarakat di negara ini semasa menghadiri kenduri perkahwinan.Episod akan datang saya akan menceritakan apa yang dimaksudkan BERKAT .
Berbalik kepada Nasi Ambeng ..tuan rumah yang melaksanakan majlis ini tidak perlu bersusah payah mencuci pinggan mangkuk hidangan kerana mereka sekadar mencuci talam sahaja.Ianya lebih mudah dan jimat masa.Waima begitu masyarakat jawa sekarang jarang mengamalkan hidangan Nasi Ambeng.Tidak tahu apa sebabnya dan sekiranya teringin saya akan menyediakan dari dapur saya sendiri dan makan dalam talam bersama anak-anak kerana sudah terlalu jarang wujudnya kenduri Nasi Ambeng dan tujuan utama ialah ingin memberi pengalaman makan Nasi Ambeng kepada generasi saya.Mungkin kerana tuan rumah tidak mahu menyusahkan jiran tetangga atau saudara mara untuk membantu maka mereka lebih senang dengan menempah makanan daripada pihak catering sahaja.
Pada bulan Mei tahun lalu saya berkesempatan meyediakan hidangan Nasi Ambeng kepada masyarakat Pulau Pinang khasnya jiran tetangga saya sempena Giliran Membaca Yasin Kumpulan Wanita Dari Rumah Ke Rumah.Menu tambahan saya sediakan telur masin dan 'Keluban' sebagai penyedap hidangan.
'KELUBAN' (Kerabu versi Jawa )
1/2 kilo taugeh segar - celur
1/2 kilo daun pegaga - hiris halus
1/2 kilo daun selom - hiris halus
3 ikat pucuk paku - celur
250 gm kacang kelisa muda - hiris halus
1/2 kilo kangkung kampung - celur
Daun cekur hiris halus
2 biji kelapa mesin
15 ulas bawang merah
8 ulas bawang putih
20 biji cili padi
sedikit belacan
(Bubuh semua bahan dalam loyang dan kukuskan 20 minit)
Tumbuk bahan kukus tadi kecuali kelapa
Tumbuk sekali dengan beberapa ketul ubi /isi cekur
Gaulkan bersama kelapa mesin yg juga telah dikukus tadi
Perisakan dengan bahan perasa, garam, gula dan air asam jawa
Gaul semua bahan sayuran dalam pes kelapa tadi.
Sayuran lain juga boleh diterima pakai seperti pucuk ubi celur, dan lain-lainnya.
No comments:
Post a Comment